慧眼眼科专科诊所

Message on Whatsapp

+06012 5504669

Enquiry / Appointment

  • 0340226222 (KL)
  • 0378800822 (PJ)
  • 0360931051 (Rawang)

Derita Glaukoma

Kosmo 1st March 2013







Tajuk Luar: Derita pesakit glaukoma
Tajuk Dalam: Membunuh fungsi mata secara perlahan-lahan.
Intro: Mata merupakan pancaindera yang paling penting namun malangnya, kepentingan menjaga organ tersebut sering dipandang sebelah mata.

MATA merupakan deria penglihatan yang amat berharga kepada setiap manusia. Namun malangnya, tidak ramai yang mengambil berat tentang penjagaannya kerana mungkin dilahirkan dengan penglihatan yang sempurna. Lazimnya, kita hanya merujuk ke klinik apabila berhadapan dengan masalah sakit mata atau pandangan mula kabur. Perkara tersebut diakui seorang pesakit glaukoma yang hanya mahu dikenali sebagai Mei.

Penyakit glaukoma disebabkan kerosakan saraf optik sekali gus boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang simptom yang ketara. Cerita kakitangan swasta itu yang kini berusia 55 tahun, dia juga seperti individu lain kerana tidak pernah ke klinik untuk menjalani sebarang pemeriksaan mata.

Namun, pada usia 16 tahun Mei buat pertama kali mengunjungi ke hospital semata-mata untuk menjalani pemeriksaan mata kerana penglibatan mula kabur.“Saya tidak dapat melihat dengan jelas terutama ketika membaca buku lalu mengadu masalah tersebut kepada ibu bapa,” ungkapnya. Selepas doktor memeriksa kedua-dua mata Mei, dia disarankan supaya memakai cermin mata. Sejak mengenakan kuasa kanta mata yang mencecah 400 itu, Mei mengakui keadaan matanya bertambah baik.

Begitupun, panas yang disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Episod duka mula melanda dalam kehidupan Mei selepas 33 tahun apabila disahkan menghidap penyakit glaukoma.
Kualiti kehidupan anak jati Kuala Lumpur itu mula berubah ketika melangkah usia pada 49 tahun. Penglihatan Mei semakin teruk. Lebih malang lagi, dia mengalami masalah penglihatan berganda.

Namun, tambahnya, simptom-simptom itu tidak menyerang dirinya secara berkala. Namun, dia masih tidak memandang masalah itu dengan serius sehingga setahun berlalu. Akibat sikapnya itu, Mei memberitahu, keadaan matanya semakin kabur. Melihat kesihatan mata Mei semakin teruk, salah seorang saudara terdekat yang juga merupakan doktor menasihatkan supaya menjalani pemeriksaan mata. Akhirnya, akur dengan nasihat itu, Mei mengunjungi ke klinik milik saudaranya itu yang terletak di Kuala Lumpur. Selepas menjalani beberapa ujian, Mei disahkan menghidap penyakit glaukoma.“Pada masa itu, saya tidak mengetahui apa itu glaukoma tetapi selepas doktor menerangkan penyakit itu, barulah saya faham dengan jelas,” jelasnya. Ibu kepada seorang cahaya mata itu terkesima seketika kerana tidak menyangka menghidap penyakit itu. Begitupun, wanita separuh abad itu mengakui neneknya juga menghidap penyakit yang sama.“Tidak sangka saya mewarisi penyakitnya itu,” pintas Mei. Ghairah berbicara mengenai nasib itu, Mei berkata, dia hanya mampu bergantung kepada ubat-ubatan.

Menyentuh mengenai ubat, memandangkan rawatan peringkat  pertama bagi  glaukoma ialah ubat titisan mata, jadi dia bergantung kepada ubat tersebut sahaja. Sejak dari hari itu, Mei terpaksa membeli ubat itu yang berharga lebih RM100 dari hospital.

Ubat titisan itu perlu dimasukkan ke dalam mata sebanyak dua kali iaitu sebelah pagi dan petang.
Gara-gara sibuk dengan rutin harian di tempat kerja dan rumah, Mei kerap kali mengabaikan pengambilan ubat-ubatan. Dia hanya meletakkan ubat titis itu ke dalam mata apabila rajin. Sikap itu berlarutan sehingga enam bulan sehingga menjalani rawatan susulan di sebuah hospital sekitar Kuala Lumpur. Sejurus doktor menjalani pemeriksaan, keadaan mata Mei didapati bertambah teruk dan berisiko menjadi buta. Bertitik tolak dari situ, penglihatan Mei semakin merosot apatah lagi tidak dapat melihat jika pandangan sisi dan atas.
“Jika seseorang berdiri di sebelah atau di tingkat atas, saya sememangnya tidak dapat melihat individu tersebu,” katanya dengan nada kesal. Khuatir menjadi buta, Mei tidak lagi mengabaikan pengambilan ubat-ubatan. Kini, dia mengambil ubat mengikut waktu dan menuruti segala nasihat doktor. Namun demikian, Mei tidak menganggap penyakit tersebut menandakan titik noktah dalam kehidupannya.Sebaliknya, dia bersyukur kerana Tuhan masih memberi peluang kepadanya untuk melihat wajah suami dan anaknya.
Dia berasa dirinya bertuah kerana sejak menghidap penyakit itu, Mei memberi perhatian sepenuhnya kepada kesihatan terutama kepada mata.
Walaupun terlambat untuk mengubah kehidupannya, dia hanya mengamalkan corak kehidupan yang sihat selain menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Nasihat saya kepada pesakit glaukoma, jangan sekali-sekala mengabaikan ubat-ubatan kerana tindakan itu hanya mengundang risiko buta,” ujarnya lagi. Sementara itu, Pengasas Persatuan Glaukoma Malaysia, Stevens Chan berkata, penyakit itu bukan penamat dalam kehidupan seseorang penghidap. Pesakit sebaliknya perlu tabah dan sabar menghadapi ujian tersebut.“Saya sendiri menghidap penyakit itu lebih 10 tahun dan masih mampu meneruskan kehidupan seperti insan normal yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, lebih 1,000  ahli telah mendaftarkan diri dengan persatuan tersebut. Menurut Stevens, pihaknya sentiasa mengadakan pelbagai projek untuk mengumpul dana dan memberi pemeriksaan percuma kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada pesakit yang mendapat penyakit itu supaya mengikut nasihat doktor dalam pengambilan ubat-ubatan.“Buta akibat glaukoma boleh dielakkan sekiranya pesakit  menjalani rawatan serta makan ubat  secara teratur,” tegasnya.
----------------------------------
2nd lead: Glaukoma ancam warga emas.

MASYARAKAT di negara ini dilihat kurang menitikberatkan soal penjagaan mata sekali gus menyebabkan mereka terdedah dengan risiko penyakit glaukoma.

Ia merupakan satu penyakit mata yang menyebabkan tekanan mata mengalami tekanan tinggi sehingga menyebabkan kerosakan pada urat mata.

Begitupun, jika ia tidak dikesan segera, seseorang itu akan menjadi buta.
Pakar Bedah Mata dan Okuloplastik, Klinik Pakar Mata Centre For Sight Petaling Jaya, Dr. Zurina Zainal Abidin berkata, masyarakat perlu membuat pemeriksaan mata secara berkala sebagai usaha mencegah daripada mendapat penyakit itu. Tiada ubat yang mampu menyembuhkan penyakit tersebut sepenuhnya sekiranya ia dikesan lewat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada kebiasaan, penyakit yang menyerang individu yang berumur lebih 40 tahun tidak menunjukkan sebarang simptom.

Maka, tidak ramai yang menyedarinya sehingga kehilangan deria penglihatan yang serius. Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit ini termasuk sejarah keluarga dan miopia (rabun jauh).“Oleh itu, lebih elok setiap individu menjalani pemeriksaan mata, tidak kira tua atau muda,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Mata Centre For Sight, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit itu, beliau memberitahu walau bagaimanapun, penyakit tersebut masih boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.“Menerusi pengambilan ubat titis, laser dan pembedahan mata. Langkah ini dilakukan agar pesakit tidak terus kehilangan penglihatan yang lebih teruk,” ujarnya lagi.
 
Info penyakit glaukoma.
------------------------------
*Penyakit ini berlaku akibat tekanan dalam mata menjadi terlalu tinggi yang seterusnya menjejaskan saraf optik di belakang mata.
*Boleh menyebabkan buta akibat sambungan mata ke otak (saraf optik) terputus.
* Lebih berisiko untuk individu 40 tahun ke atas.
*Tiada sebarang simptom
*Penggunaan steroid
*Trauma kepada mata
*Diabetes
*Genetik